MAAHAD TAHFIZ INTEGRASI DAR AL-HIKMAH

Pengenalan PIBG

  • PDF

 

PIBG Dar al-Hikmah ditubuhkan bagi mewujudkan kerjasama antara ibu-bapa dan pihak sekolah dalam usaha pendidikan anak-anak kita. Model pendidikan yang ditawarkan di Dar al-Hikmah ialah model pendidikan dalam suasana keIslaman berpandukan al-Quran dan al-Sunnah. Justeru, model PIBG juga adalah model dalam suasana keIslaman yang berpandukan al-Quran dan al-Sunnah. Model yang berasaskan kepada rukun dan peraturan yang termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Model dalam membina sebuah institusi pendidikan yang dapat melahirkan generasi ‘rabbani’ iaitu generasi yang belajar dan mengajar al-Quran.

Sebagai sabda Rasulullah s.a.w:

Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya

(Hadith riwayat Bukhariy dan Muslim)

 

Setiap seorang daripada kita wajib berusaha mencari keredhaan Allah pada apa sahaja amalan dan aktiviti yang dilakukan dalam kehidupan seharian kita. Demikianlah dalam melaksanakan aktiviti PIBG Dar al-Hikmah. Aktiviti yang biasa dirancang PIBG Dar al-Hikmah tidak hanya terhenti sekadar kebaikan di dunia, malah harus menjangkau untuk mencari pahala serta redha Allah – Jalla wa ‘Ala – dan mendatangkan manfaat hingga ke akhirat.

Setakat ini, program yang biasa dilaksanakan ialah aktiviti seperti relah keluarga/hari keluarga, sumbangan iftar/berbuka puasa untuk anak-anak yatim dan sumbangan dalam menampung kos penyelenggaraan sekolah. Model PIBG Dar al-Hikmah adalah model yang berpandukan al-Quran dan al-Sunnah. Aktiviti PIBG yang biasa dijalankan di mana-mana sekolah seperti gotong-royong, membersih kawasan, mengecat bangunan, sumbangan jogathon, walkathon, pertandingan tarian, nyanyian dan sebagainya bukanlah tujuan kita.

Ibu-bapa Dar al-Hikmah perlu faham, Dar al-Hikmah adalah sebuah sekolah Tahfiz Quran yang tidak hanya mementingkan bab hafazan, malah yang lebih diutamakan adalah ke arah pemahaman al-Quran untuk diamalkan. Sejajar dengan itu, ibu-bapa sendiri perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran seperti mana yang diperolehi oleh anak-anak kita. Kita tidak harus menjadi seperti, “Ketam mengajar anaknya berjalan betul”. Kita tidak harus berpuas hati dengan hanya menghantar anak untuk menghafaz al-Quran, menghafaz hadith, doa-doa dan sebagainya sedangkan kita sendiri jahil akan hal-hal tersebut.

Disinilah letaknya tujuan utama PIBG Dar al-Hikmah agar kita sama-sama memikirkan, sama-sama berusaha melengkapi diri kita masing-masing dengan ilmu dan amal, melaksanakan aktiviti yang lebih bercorak keilmuan agar keluarga kita dan sekolah dapat berjalan seiring menuju kepada matlamat mencari keredhaan Allah. Oleh itu, kita sebagai ibu-bapa perlu memahami dan menyediakan suasana pembelajaran yang dapat membantu memudahkan pembelajaran anak-anak kita terutamanya di rumah dan dalam kehidupan kita seharian perlu subur dengan nilai Islam.

Jika kita dapat memahami dan bersama-sama menyokong sekolah sebagai pelengkap dalam proses mendidik anak-anak kita, maka model pendidikan Islam yang bersepadu sebagai pusat tarbiyah bagi melahirkan generasi yang berkemampuan memimpin umat dalam menghadapi cabaran zaman, generasi yang mantap akidahnya, sahih ibadahnya, kukuh akhlaknya, mampu memimpin diri sendiri dan sedia berbakti kepada masyarakat tidak mustahil untuk kita hasilkan.

Ibu-bapa yang dihormati sekalian, hendaklah kita mengingati akan tujuan sebenar kita dilahirkan ke dunia ini dan seterusnya tujuan sebenar kita menghantar anak-anak kita ke Dar al-Hikmah. Setiap kita akan mendapat ganjaran/pahala menurut apa yang kita niat dan usahakan. InsyaAllah.

 

You are here: