MAAHAD TAHFIZ INTEGRASI DAR AL-HIKMAH

Nasihat Buat Ibu Bapa

  • PDF

NASIHAT KEPADA IBU-BAPA

Nasihat Satu

 

Wahai ibu-bapa!

 

Hendaklah kita mengingati akan tujuan sebenar perkahwinan yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya. Perkahwinan adalah ikatan kukuh bagi pembentukan sebuah keluarga dan pengekalan zuriat keturunan manusia. Menerusi institusi keluarga ini terpikul amanah bagi pembinaan insan salih yang kelak akan menjadi pelanjut kepada risalah dakwah yang diwariskan oleh para anbiya’ dan mursalin – ‘alayhim al-salat wa al-salam. Di sinilah terbentuknya sebuah masyarakat Muslim.

 

Oleh yang demikian, jadikanlah keluargamu sebagai Bayt al-Muslim yang terpancar di dalamnya nur dan hidayah, mawaddah dan rahmah (cahaya dan petunjuk), cinta dan kasih sayang. Didiklah dirimu dan keluargamu dengan akidah yang benar, ibadah yang sahih dan akhlak yang terpuji. Hindarilah dirimu dan keluargamu daripada perbuatan syirik, bid’ah dan maksiat kerana ia menyebabkan rumah-tanggamu terhindar daripada rahmat Allah dan berada dalam kehidupan yang sempit. (20:124)

 

 

 

Nasihat Dua

 

Wahai ibu-bapa!

 

Rumahtangga yang baik ialah rumahtangga yang dapat melahirkan suasana yang tenang dan tenteram. Ketenangan dan ketenteraman tidak datang sendiri, tetapi ia perlu diusahakan kewujudannya. Ia lahir dari iman yang salih. (16:97)

 

Bermuafakatlah mengurus rumahtangga. Binalah ia di atas asas iman dan amal salih. Kerana menerusi iman dan amal salih akan lahirlah:

 

• Sikap bertanggungjawab dan saling hormat-menghormati

 

• Sabar dan syukur

 

• Usaha dan bertawakkal

 

 

 

 

Nasihat Tiga

 

Wahai ibu-bapa sekalian!

 

Hendaklah kita mendidik diri dan keluarga kita di atas asas akidah yang benar. Didiklah mereka mengenal Allah, mengenal Rasul dan mengenal Islam. Didiklah dirimu dan anak-anakmu memahami tentang Tawhid al-Rububiyyah, al-Uluhiyyah dan al-Asma’ wa al-Sifat. Jauhilah dirimu dan keluargamu daripada amalan syirik dan khurafat, ajaran karut-marut dan sesat. (4:48)

 

Didiklah dirimu dan keluargamu mencintai Nabi – sallalLahu ‘alayhi wa sallam.

 

Didiklah dirimu dan keluargamu mengenal Islam. Islam dalam pengertiannya yang lengkap dan menyeluruh. Kenalilah Islam bukan sebagai agama warisan, tetapi agama yang dianuti dan dihayati keseluruhan ajarannya.

 

 

 

 

Nasihat Empat

 

Wahai ibu-bapa!

 

Amalan pertama yang akan dihisab oleh Allah pada hari kiamat nanti ialah solat. Rasulullah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – pula menyifatkan solat sebagai tiang agama. Jika rosak solat maka rosaklah agamanya. Amir al-Mu’minin, ‘Umar al-Khattab, pula menjadikan amalan solat sebagai kriteria utama dalam memilih pegawai.

 

Seterusnya, hidupkanlah rumahtanggamu dengan ibadat-ibadat yang lain. A’ishah menceritakan bahawa Rasulullah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – bangun solat malam. Dalam hadith lain, Rasulullah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

 

“Semoga Allah merahmati seseorang yang bangun solat malam, lalu ia membangunkan isterinya. Jika isterinya enggan, lalu ia merenjiskan air ke mukanya”

 

(Sunan Abi Dawud [1308]. Tahqiq al-Albaniy: Hasan Sahih)

 

Jangan jadikan rumahmu seperti kubur. Hiasilah rumah dengan suasana ibadah dan dhikrulLah. Antaranya ialah dengan melakukan solat, puasa, tilawah al-Quran dan tadabbur al-Quran.

 

Rasulullah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

 

“Janganlah jadikan rumahmu seperti kubur. Sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya Surah al-Baqarah”

 

(Sahih Muslim [780])

 

Namun begitu, dalam keghairahanmu melakukan ibadah, engkau juga hendaklah memperhatikan benar-benar tentang rukun ibadat itu sendiri. Menurut para ulama’, rukun ibadat itu dua perkara: ikhlas dan mutaba’ah. Ikhlas itu maksudnya tumpuan ibadat itu ialah demi mencari mardatilLah. Manakala mutaba’ah itu pula ialah dengan melaksanakan ibadat menurut sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam.

 

Dengan mengerjakan ibadat, perhatikanlah kepada dalil-dalil yang sahih agar engkau tidak terjerumus dalam perbuatan bid’ah yang ditegah oleh Allah dan RasulNya.

 

 

 

 

Nasihat Lima

 

Wahai ibu-bapa!

 

Akhlak yang terpuji adalah lambang ketinggian peribadi seseorang. Justeru akhlak adalah manifestasi iman. Rasulullah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

 

“Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya”

 

(Sunan al-Tarmidhiy [1162]. Kata al-Tarmidhiy: Hadith Hasan Sahih. Tahqiq al-Abaniy: Hadith Hasan Sahih)

 

Oleh kerana akhlak menjadi lambang keperibadianmu, maka janganlah engkau memandang remeh akan apa sahaja kebaikkan yang dapat engkau lakukan kepada orang lain.

 

Rasulullah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

 

“Jangan engkau memandang remeh akan apa sahaja kebaikkan, walaupun dengan hanya mempamerkan wajah yang manis ketika bertemu rakanmu”

 

(Sahih Muslim [2626])

 

Selain itu ialah berani menegakkan kebenaran, tidak lekas marah, mudah memaafkan kesalahan orang lain dan menepati janji. Peliharalah akhlakmu kerana dengan ketinggian akhlak itu, engkau dikasihi di langit dan dihormati di bumi.

 

 

 

 

Nasihat Enam

 

Wahai ibu-bapa!

 

Tiada yang dapat menyampaikan engkau kepada kebenaran menlainkan dengan ilmu. Inilah hakikat yang tidak dapat dimungkiri lagi. Oleh kerana itu, Islam sangat menganjurkan agar usaha menuntut ilmu diberi perhatian serius dan hukumnya adalah wajib.

 

Rasulullah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

 

“Menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap muslim”

 

(Sunan Ibn Majah [224] Tahqiq al-Abaniy: Hadith Sahih, tanpa tambahan sesudah matan di atas)

 

Allah menurunkan al-Quran. Menerusi al-Quran, Allah menyeru manusia agar berfikir menggunakan akal. Allah memuji golongan yang disebut sebagai ulama’, ulu al-albab, ulu al-nuha, ulu al-ahlam dan sebagainya. Justeru, menerusi kegiatan berfikir, tamadun manusia akan meningkat maju. Ilmu yang paling utama untuk kita pelajari ialah al-Quran. Rasulullah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

 

“Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya”

 

(Sahih al-Bukhariy [5027]. Sahih Muslim [2907])

 

Tanpa kegiatan berfikir, manusia akan menjadi jumud dan lesu, meniru dan mengikut orang lain tanpa usul periksa, mengiya dan mengangguk. Islam tidak mahu lahir dari keluarga Muslim golongan yang seperti ini.

 

Oleh yang demikian, hendaklah engkau berusaha menyediakan ruang waktu di samping kesibukkanmu dengan menuntut ilmu. Tugas menuntut ilmu tidak pernah berakhir. Ia sepatutnya menjadi suatu penerokaan yang lebih menarik setelah engkau meninggalkan institusi pengajian. Justeru pada waktu itu, engkau sekaligus dapat menimba pengalaman, mempelajari ilmu dan menerapkannya.

 

Ilmu yang engkau amalkan dan engkau sebarkan bagi manfaat orang lain akan mendatangkan kebaikkan yang berpanjangan buat dirimu. Inilah yang disebut oleh Rasulullah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam:

 

“Apabila matinya manusia, terputus segala amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariyah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak salih yang mendoakannya”

 

(Sunan al-Tarmidhiy [1376]. Kata al-Tarmidhiy: Hadith Hasan Sahih. Sunan al-Nasa’iy [3651]. Tahqiq al-Abaniy: Hadith Sahih)

 

Kekalkanlah kecintaan kepada ilmu sepanjang hayatmu. Beramallah dengan apa yang engkau pelajari. Justeru itu adalah jalan yang memudahkan engkau ke syurga.

 

Sabda Rasulullah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam:

 

“Sesiapa yang menempuh suatu jalan kerana hendak menuntut ilmu, Allah akan permudahkan baginya jalan ke syurga”

 

(Sunan al-Tarmidhiy [2646]. Kata al-Tarmidhiy: Hadith Hasan. Tahqiq al-Abaniy: Hadith Sahih)

 

Ibu-bapa perlu hadiri majlis-majlis ilmu, wujudkan perpustakaan di rumah, selalu mengadakan perbincangan-perbincangan ilmiah sesama sendiri dan juga anak-anak. Dengan cara yang demikian, tiada satu hari pun yang berlalu dalam hidupmu, melainkan diisi dengan sesuatu yang amat bermanfaat sebagaimana contoh yang pernah ditunjukkan oleh generasi al-salaf al salih.

 

 

 

Nasihat-nasihat di atas adalah untuk renungan kita bersama. Apalagi mengingatkan perintah Allah – Subhanahu wa Ta’ala – yang sentiasa menyuruh setiap Muslim saling berwasiat dan menyampaikan peringatan kepada yang lain. Firman Allah:

Terjemahan: “Dan berilah peringatan kerana peringatan itu berguna kepada orang-orang beriman.” (51:55)

 

 

 

 

Manakala Rasulullah – sallalLahu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

 

“Agama itu adalah nasihat”

 

(Sahih Muslim [55])

 

Ibu-bapa semua, moga risalah ini menjadi panduan buat diri kita agar dapat menjadi amal salih buat kita serta semua warga Dar ­­­al-Hikmah. Moga dapat menjadi satu amal salih yang akan memudahkan jalan kita ke syurga. Amiin.

You are here: